MAC 2025

TYT Sarawak & Premier Sarawak Hadiri Majlis Sungke Perdana 2025


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Sungke Perdana 2025 di Astana Negeri Sarawak, pada Selasa.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perpaduan Dato Sri Aaron Ago Dagang, barisan kabinet Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan kabinet Timbalan Menteri Sarawak serta dif kenamaan yang lain.

Kedua-dua tetamu kehormat tiba sekitar 6.45 petang disambut dif-dif kenamaan dan bergerak masuk ke Dewan Surau Astana untuk menunggu azan Maghrib berkumandang bagi berbuka dengan jamuan ringan.

Selesai berbuka, kesemua dif-dif kenamaan bergerak ke ruang solat untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menjamu juadah Iftar.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan menunaikan solat Isyak dan solat terawih yang dipimpin oleh Ustaz Datuk Dr. Muhamad Idris Almashrafe sebelum majlis diakhiri dengan moreh.